Biak baka arnab hibrid

PENGALAMAN terbabit dalam bidang penternakan arnab secara komersial hampir satu dekad banyak memberi pengajaran berguna kepada Aisyaturridha Abdullah.

Sepanjang tempoh itu pelbagai pengalaman pahit dan manis terpaksa ditempuhinya termasuk berdepan masalah pasaran, ternakan mati akibat penyakit Coccidiosis, kenaikan harga bekalan makanan dan impak pandemik Covid-19.

Apatah lagi di awal pembabitannya, pada 2012 Aisyaturridha bermula dengan ‘kosong’ menerusi penternakan arnab hiasan sebelum terbabit dengan arnab pedaging secara komersial.

Biarpun begitu, cabaran yang ditempuhi dilihat dari sudut positif sebagai proses untuk menjadi penternak matang dan berjaya.

Kini, Pengasas Bersama Goodtree Garden itu aktif membiak dan menternak baka arnab hibrid Hycole dan New Zealand White untuk jualan daging serta induk di ladang ternakannya seluas 1.2 hektar di Dengkil, Selangor.

Dari jerih perih yang dihadapi itu, Aisyaturridha kemudian mengambil inisiatif membangunkan sebuah pusat pembiakan arnab hibrid antara pertama di negara ini dengan kerjasama Hycole (syarikat pembiakan arnab dari Perancis) sejak setahun lalu.

Kini, pada satu-satu masa, sebanyak 200 induk dan 1,500 anak arnab boleh ditempatkan di pusat pembiakan terbabit.

“Idea untuk menyediakan pusat pembiakan arnab ini tercetus daripada pengalaman kami menternak arnab. Dalam tempoh itu kami berdepan pelbagai masalah sehingga menjejaskan hasil ternakan.

“Untuk mengelakkan penternak baharu berdepan masalah sama, kami membangunkan sebuah pusat pembiakan arnab untuk mewujudkan ekosistem yang lebih efisien, sistematik dan lebih menguntungkan penternak,” katanya.

Mengulas lanjut, ekosistem ini dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu pusat pemilihan arnab, pusat pembiakan dan penternak kontrak.

“Pemecahan bahagian ini dibuat untuk mengurangkan risiko dan beban yang dihadapi penternak kontrak supaya mereka boleh memberi fokus sepenuhnya dalam memaksimumkan penghasilan anak arnab, sekali gus memenuhi permintaan pasaran di dalam dan luar negara.

“Peranan pusat pembiakan pula adalah memastikan induk efisien yang dapat menghasilkan anak arnab yang banyak dan berkualiti,” katanya.

Katanya, sistem ini berbeza daripada penternakan dijalankan secara konvensional yang memerlukan penternak melakukan banyak perkara dalam satu-satu masa selain berdepan risiko yang tinggi.

Menurutnya, sistem ini dilaksanakan secara berpusat termasuk menyediakan pusat pembiakan, rumah sembelihan dan penternak kontrak dalam satu kawasan sama untuk memudahkan ia bergerak dengan lancar.

“Kini, pusat pembiakan masih menggunakan kaedah amatur dan berada di peringkat percubaan yang sudah beroperasi selama setahun. Untuk melengkapkan semua ekosistem ini, kami perlukan RM2.3 juta, tapi yang terbaik adalah RM10 juta.

“Jumlah ini tidak semahal ternakan lain yang memerlukan kos lebih tinggi berbanding arnab.

“Setakat ini, kami dalam proses pembinaan reban untuk penternak kontrak yang sudah dikenal pasti bagi melengkapkan ekosistem yang ingin diwujudkan,” katanya.

Aisyaturridha menyasarkan dalam tempoh lima tahun, pusat pembiakan arnab itu membekalkan arnab kepada lima penternak kontrak di sini.

“Kemudian kami kembangkan ke kawasan lain untuk melahirkan lebih ramai penternak arnab secara komersial.

“Kami berharap ternakan arnab dikomersialkan dan dibiakkan pada skala lebih besar untuk memenuhi permintaan pasaran.

“Bagaimanapun, ia boleh menjadi kenyataan dengan lebih cepat melalui perhatian kerajaan dengan melihat ternakan ini sebagai industri berpotensi tinggi,” katanya.

Sumber : Harian Metro
Disiarkan pada: Oktober 9, 2022 @ 6:50am